Blogger Widgets

Tuesday, 23 April 2013

MINGGU 1 :PENGGUNAAN ENJIN PENCARI BAHAN BAHASA MELAYU


Makalah ini mengajak perbincangan mengenai sastera siber, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam penyaluran bahan-bahan sastera dalam media yang canggih dan terkini. Sebagai saingan media masa sedia ada, sasaran para pengarang di ruang maya atau siber yang mudah, segera dan berkesan ini bagaimanapun tidak mudah untuk melahirkan karya yang besar sebagai mercu tanda kehebatan teknologi itu sendiri. Dalam masa yang sama perhatian juga diberikan terhadap kesan akibat budaya pengguna internet yang gagal membezakan penggunaan bahasa di internet dan di luar internet. Namun begitu, para penulis juga tetap berhasrat untuk menyebarkan hasil sastera kebangsaan di dunia global melalui hasil sastera yang tiada batasan bangsa dan geografikhalayaknya sebagai mewakili bangsa, budaya dan agama di mana dia menjejak bumi dan menjunjung langit.

Kertas kerja ini disediakan bersempena dengan Dialog Borneo-Kalimantan ke-VIII pada 2 hingga 5 Julai 2005 di Sandakan, Sabah.

Pendahuluan

PEMANFAATAN teknologi bagi seni bukanlah suatu tabu. Dari segi sejarah, hubungan antara teknologi dan seni boleh ditelusuri menerusi akar kata seni yang berasal dari tekhne dalam bahasa Yunani, dan kemudiannya terbentuk kata technology. Sehingga pada dasarnya, teknologi bagi seni menjadi kesatuan dominan dengan dan dalam peradaban dan kebudayaan. Bahkan kualiti sesebuah karya sastera itu sendiri tidak pernah ditentukan oleh kualiti komputer atau kualiti kertas, tetapi sebagai sebuah media eksistensi alternatif, dunia siber telah menunjukkan daya gunanya yang cukup berkesan dan bertenaga.

Pandangan bahawa sastera siber adalah sastera bebas termasuk bebas dari sudut mutunya merupakan suatu pandangan yang kurang benar. Unlimited dalam sastera siber terbatas dalam perbandingannya dengan sastera surat khabar atau majalah dan buku hanyalah dari segi waktu dan ruang. Evolusi kebudayaan ini menyebabkan kemanusiaan berlaku dan memperlakukan segala sesuatu secara berkesan. Sehingga segala sesuatu kembali kepada manusia sendiri, bagaimana ia memanfaatkan teknologi dan bukan dimanfaatkan oleh teknologi. Sastera siber bukanlah dosa penyimpangan karya sastera salah satu bentuk hasil mutakhir dengan pemahaman umum iaitu cepat, mudah dan nyaman (Medy Loekito: 2001).

Sastera Teknologi Tinggi dan Gelombang Budaya Globalisasi Penggunaan komputer dan internet membawa kita ke suatu lagi tahap perkembangan baru yang pasti telah menukar suasana dan corak karya sastera yang dilahirkan dan digunakan oleh pembaca sastera di ruang siber yang baru. Bagaimanakah corak dan fungsi sastera di ruang siber ini? Berdasarkan pemerhatian awal kita boleh melihat beberapa perubahan berikut:

ƒ Karya-karya sastera Melayu mendapat saluran atau media baru di ruang siber.Peranan dan corak kegiatan agen atau insitusi penyebar sastera yang kini dikuasai oleh para penerbit dan pengedar buku dan sebagainya berubah.Karya sastera mengalami penyesuaian dan perubahan akibat perubahan media ini. Malah bentuk dan jenis sastera baru lebih bersifat interaktif.

ƒ Khalayak sastera akan berubah secara radikal. Pembaca karya sastera tidak lagi di kalangan masyarakat Melayu di negara atau rantau yang sama dengan penulis, tetapi lebih luas, di luar batas politik dan geografi, usia dan sebagainya Proses penciptaan dan penyebaran yang serba segera menuntut daya tarikan, daya saingan, strategi dan ketahanan seni serta kesan sastera yang berbeza. Dalam era baru ini, kita bukan sahaja perlu melahirkan sekumpulan penulis yang mencintai bahawa Melayu, boleh menulis dengan baik dalam bahasa Melayu, mampu mempertahankan kemurniannya serta gigih berusaha untuk meningkatkan keindahan bahasa tersebut. Yang lebih mencabar lagi ialah kita haruslah melahirkan para pujangga Melayu di ruang siber, pujangga yang bukan sahaja mampu berkarya dalam bahasa Melayu yang baik dan indah bahkan mempunyai daya tarikan seni dan daya ketahanan global yang kental.

Unsur-unsur baru di atas memerlukan para penulis kita menilai semula konsep kepengarangannya sesuai dengan perubahan-perubahan dari segi media, proses penghasilan dan penyebaran serta khalayak sastera yang baru ini. Untuk mendapatkan perhatian dan tempat terhormat di kalangan khalayak antarabangsa melalui halaman sastera siber, tentu sekali sasterawan Melayu tidak boleh terus berkarya dalam kepompong sastera dan pendekatan seni yang beku dan sempit. Penghasilan karya sastera bercetak dalam bentuk buku mungkin tidak akan dihentikan dan akan berterusan seperti sastera bercorak lisan yang masih berkekalan biar pun muncul media cetak sebagai saingan. Persoalan utama ialah untuk mengisi keperluan baru yang timbul akibat fenomena teknologi baru ini. Bagaimanakah bentuk karya yang bermutu tinggi untuk mengisi halaman seni global? Bagaimana kita boleh melahirkan pujangga ruang siber ini? Pada tahap awal ada beberapa keperluan dasar yang harus diisi secara bijaksana: Para penulis perlu mempelajari dan menguasai teknologi baru kerana jika mereka tidak celek dengan teknologi buta IT, mereka akan ketinggalan dan terus meraba dan sesat dalam alam siber ini.

No comments:

Post a Comment